top of page
nabalunews

Bersikap jujurlah kita isu cadangan pensijilan halal mandatori di restoran bukan Islam - Hassan Karim


10 September 2024


Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang


Siapakah yang memulakan kontroversi? Teresa Kok atau Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mohd Naim Mokhtar?


Teresa memberikan statementnya sebagai reaksi terhadap kenyataan secara terbuka Dr. Mohd Naim.


Kenyataan Dr. Mohd Naim adalah satu cadangan dasar awam berkaitan satu peraturan mandatori dari segi peraturan yang sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Soalan pertama yang kita ingin tanyakan ialah adakah cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam itu telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri (Kabinet)?


Soalan kedua: adakah Menteri Hal Ehwal Agama boleh umumkan di khalayak awam satu dasar kerajaan yang melibatkan undang-undang dan peraturan yang masih belum diluluskan oleh Kabinet?

Berbincang pun belum diadakan di dalam Kabinet berkenaan cadangan tersebut.


Soalan ketiga: Untuk bersikap jujur dan adil siapa sebenarnya yang mula-mula mencetuskan konroversi? Teresa Kok Ahli Parlimen Seputeh atau Dr. Mohd Naim, Menteri Hal Ehwal Agama?


Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap satu dasar kerajaan yang masih baru dibincang di peringkat Jabatan Jakim.Kajian menyeluruh pun belum dibuat secara tuntas.Masih belum di bawa ke perbincangan Kabinet.


Statement Teresa Kok didakwa satu kesalahan di bawah 3R (race, religion, dan royalty) kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemaraham awam di kalangan Orang Islam.


Maka kita ingin bertanya bagaimana dengan statement Dr. Mohd Naim Menteri Hal Ehwal Agama tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan oleh Kabinet yang jelas telah menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang Bukan Islam? Adakah statement Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R?


Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku?


Adakah sebaliknya jika orang Bukan Islam merasa resah, gentar dan marah maka pelanggaran 3R tidak berlaku?


Adakah wujud sistem hukum dua darjat di Malaysia yang kita cintai ini?


Saya perlu menyatakan dengan jelas.Saya seorang Islam yang menganggap isu halal dan tidak halal dalam apa juga urusan hidup termasuk soal makan minum adalah relevan di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama.



Tetapi kita mesti jujur dan adil.Tujuan tidak menghalalkan cara. Tujuan cadangan Jakim seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama adalah baik.Tetapi cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri Kerajaan Persekutuan.


Cara yang betul ialah Dr. Mohd Naim selaku Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengarahkan satu kajian yang lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori di kalangan syarikat restoran bukan Islam.


Bawa kertas cadangan kepada mesyuarat Kabinet.Biar semua menteri dalam Kabinet yang Islam dan bukan Islam berbincang dengan akal yang sihat, rasional serta tidak ikut sentimen.Tidakkah kerajaan Persekutuan sekarang kerajaan Perpaduan di mana menteri- menteri di dalam Kabinet itu yang Islam ramai dan yang bukan Islam juga ramai.Jadi berbincanglah dengan mendalam.


Jika secara prinsipnya Kabinet bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Menteri Hal Ehwal Agama, kemudian libatkanlah Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hl Ehwal Undang-Undang.


Selepas itu Menteri Hal Ehwal Agama buatlah libaturus dengan pertubuhan-pertubuhan agama sama ada Islam dan bukan Islam.Juga bawalah proses libaturus dengan persatuan peniaga-peniaga restoration bukan Islam sebagai pihak yang betul-betul terlibat.


Jika isu undang-undang beres dan semua pihak yang terlibat faham akan tujuan peraturan yang baru itu, kemudian bawalah semula ke Kabinet supaya digubal satu rang undang-undang berkenaan hal pensijilan halal yang mandatori.


Memang leceh, memang lambat, memang melibatkan banyak kerja.Tetapi inilah yang dipanggil tatakelola urusan kerajaan yang baik.


Apabila semua okey di mana Rang Undang-Undang telah siap, saya percaya ahli parlimen Seputeh YB Teresa Kok tidak ada bantahan lagi setelah mendapat penjelasan dan taklimat yang sempurna dalam menjelaskan tujuan baik dan berfaedah dari Menteri Hal Ehwal Agama Dr. Mohd Naim serta Jakim.


Jika itu sepatutnya yang berlaku maka terselamatkah kita di Malaysia ini dari perpecahan di kalangan rakyat dalam soal makan halal atau tak halal.Maka terelaklah tak fasal-fasal seorang Ahli Parlimen disiasat Polis dibawah 3R.


Pasir Gudang

Selasa 9 September 2024.

Comments


bottom of page