top of page
nabalunews

BOHEX 2024 bakal jadi platform utama pemerkasaan industri halal tempatan dan ASEAN




19 Disember 2024


KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo International Halal Exhibition (BOHEX) 2024 buat julung kalinya pada 5 hingga 9 Februari tahun hadapan akan memberikan penekanan khusus kepada pemerkasaan Industri Kecil Sederhana (IKS) selain meningkatkan pemahaman penduduk setempat mengenai industri halal negara.


Acara selama 5 hari ini dianjurkan oleh Eminent Source Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Pengarah Urusan Eminent Source, Mohd Arief Hafizi Mohd Hashim berkata pengisiannya merangkumi bukan sahaja makanan tetapi pelbagai bidang yang lain serta akan menghubungkan IKS dengan perniagaan lain melalui padanan perniagaan atau “business matching".


Mohd Arief berkata BOHEX 2024 dijangka akan terus menjadi platform utama dalam memacu perkembangan ekonomi halal global khususnya di negeri Sabah dan bakal menarik pelaburan dan kerjasama dua hala di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.


Katanya BOHEX 2024 yang akan berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu dijangka akan menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia dengan menawarkan peluang rangkaian strategik, pendedahan kepada inovasi teknologi halal terkini, serta pengalaman budaya Borneo yang menarik serta persembahan artis tempatan untuk menarik pengunjung.


Menurut Mohd Arief lagi, kerjasama erat antara JAKIM dan Eminent Source Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik akan membolehkan BOHEX 2024 menjadi platform memacu pembangunan industri halal terutamanya melibatkan IKS.


“Dengan potensi besar Sabah, kami yakin BOHEX akan menjadi platform penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi halal di rantau ini," katanya.


Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah,

Datuk Seri Christina Liew berkata BOHEX adalah peluang untuk Sabah memperkukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan perdagangan halal.


"Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya Borneo, tetapi juga membuka pintu kepada peluang ekonomi yang luas di peringkat antarabangsa," katanya.


Acara ini menyediakan lebih 500 reruai atau tapak pameran yang akan dibuka di beberapa lokasi termasuk Dewan Kinabatangan, Dewan Sipadan, Open Plaza serta “Sunset Walk”.


Dari segi penglibatan antarabangsa, sebanyak lapan buah negara telah menunjukkan minat untuk menyertai BOHEX, iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun, Arab Saudi dan Kemboja.


Antara pengisian utama BOHEX 2024 adalah pameran produk halal terunggul daripada 12 sektor industri halal, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, teknologi, dan pelancongan.


Pameran ini menampilkan inovasi terkini yang mematuhi piawaian halal global yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk menerokai produk dan perkhidmatan yang beretika, mampan, dan moden.


BOHEX juga menjadi medan pertemuan dalam kalangan industri, pemimpin global, dan inovator teknologi dari pelbagai negara di mana peserta boleh berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan, pembekal, pembeli, dan rakan kongsi strategik untuk membuka peluang kerjasama perniagaan yang bernilai tinggi.


BOHEX turut menggabungkan elemen budaya tradisional dan moden negeri Sabah dalam pelbagai persembahan dan aktiviti, termasuk pertunjukan kebudayaan, bengkel interaktif, permainan tradisional, dan demonstrasi masakan halal.


"Pengunjung akan berpeluang menikmati keunikan budaya Borneo yang kaya sambil meneroka ekosistem halal yang berkembang pesat," kata Mohd Arief.


Katanya acara ini juga akan menampilkan seminar dan forum bertaraf antarabangsa dengan pembicara berpengalaman yang membincangkan trend terkini, cabaran, dan peluang dalam industri halal.


Sesi perkongsian ini direka untuk memberikan pandangan kepada peserta mengenai hala tuju masa depan industri halal.


"Kami mengalu-alukan penyertaan daripada pempamer, agensi kerajaan, serta orang awam untuk turut serta dalam BOHEX 2025. Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran, sila layari laman sesawang Eminent Source Sdn Bhd di https://www.eminentsources.com/," kata Mohd Arief.

Comments


bottom of page