Bom perang dunia kedua ditemui

26 Februari 2025
PAPAR: Seorang pekerja di tapak binaan berhampiran Kilang Lok Kawi Plastic Industries, di sini, terkejut selepas menemui sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, bom yang dipercayai jenis Unexplored Ordnance (UXO) berkenaan disyaki masih aktif.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bom berkenaan ditemui ketika pekerja binaan sedang melakukan kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut.
Katanya, sebaik menemui objek mencurigakan, pekerja terbabit terus mengorek secara perlahan untuk mengeluarkannya dari dalam tanah.
“Pekerja terbabit percaya objek berkenaan adalah bom lama dan terus membuat laporan di Balai Polis Kinarut.
“Berdasarkan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan itu, Kamaruddin berkata, pihaknya turut mengerahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membantu di lokasi.
“Pemeriksaan lanjut oleh UPB mendapati bom yang ditemui itu masih aktif dan dipercayai adalah bom peninggalan sejak zaman perang dunia kedua.
“Beberapa jalan raya akan ditutup bagi mengelak pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan.
“Ia bertujuan untuk membuat persediaan meletupkan bom berkenaan di kawasan tempat penemuan,” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Kereta Api Negeri Sabah juga telah dimaklumkan supaya menghentikan operasi sementara pada waktu letupan dijalankan selain hebahan kepada penduduk setempat.
“Beberapa agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan, Sabah Electricity dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut sama memberikan kerjasama dan nasihat sebelum letupan dilaksanakan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan tempat bom itu ditemui bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya.
Comments