top of page
nabalunews

Bomba selamatkan pelajar tersepit di rangka kerusi


5 November 2024


TAWAU: Seorang pelajar perempuan terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas punggungnya tersepit di antara besi rangka kerusi yang rosak di sebuah sekolah di Tawau, pagi tadi.


Dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau II itu, mangsa yang berusia 14 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.08 pagi.


Katanya, sepasukan 9 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 6 kilometer dari balai.


Menurutnya sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebahagian badan mangsa tersepit pada kerusi besi.


“Anggota bomba menggunakan peralatan khas (hydraulic cutter) bagi memotong kerusi besi berkenaan sebelum mengeluarkan mangsa perlahan-lahan.


“Mangsa cedera ringan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi bomba ditamatkan jam 9.45 pagi.

Comments


bottom of page