Bot pancing bawa barang kawalan tanpa permit ditahan
nabalunews

26 Mac 2025
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pancing selepas dikesan membawa barang kawalan tanpa permit sah.
Dalam operasi jam 3 pagi itu, bot pancing berkenaan turut didapati melanggar syarat sah lesen di perairan sekitar 5.1 batu nautika barat laut Tanjung Berungus, Kudat.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan dikesan semasa menjalankan rondaan OP PLUTO TIMUR 2/2013 / OP TIRIS.
Katanya, melihat kepada keadaan pergerakan bot terbabit yang meragukan sedang menuju ke laut, bot ronda Maritim Malaysia segera memintas dan menahan bot terbabit untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa barang kawalan tanpa sebarang permit sah iaitu sejumlah lima tong gas serta pelbagai jenis barangan runcit.
“Tiga individu yang mengendalikan bot turut diperiksa dan didapati semuanya mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bot dan barang rampasan terus dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit sah dan Enakmen Pelabuhan dan Germaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbullah berkata, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia.
Katanya, orang awam boleh melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Opmerkingen