Buaya sepanjang lebih 3 meter ditangkap
![Ketika operasi menangkap buaya tembaga itu.](https://static.wixstatic.com/media/d65831_26bce22016c9454184462c0762d63f70~mv2.png/v1/fill/w_980,h_613,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_26bce22016c9454184462c0762d63f70~mv2.png)
11 Februari 2025
SANDAKAN: Seekor buaya sepanjang lebih 3 meter berjaya ditangkap selepas dipercayai terperangkap di dalam parit di belakang sebuah rumah di Taman Nuri, Batu 7, di sini, hari ini.
Kehadiran buaya berkenaan disedari seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang terus bertindak membuat panggilan di talian MERS 999 untuk mendapat bantuan segera.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapten Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) pada jam 7.24 pagi.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_a85775482796458d90f4ff6f1e2c44b1~mv2.jpg/v1/fill/w_960,h_1280,al_c,q_85,enc_auto/d65831_a85775482796458d90f4ff6f1e2c44b1~mv2.jpg)
Susulan itu katanya, pihaknya terus mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian untuk menjalankan khidmat khas menangkap buaya berkenaan.
"Sebaik tiba di lokasi, seekor buaya sepanjang lebih 3 meter masih terperangkap di belakang rumah pemanggil.
“Operasi menangkap buaya terus dilaksanakan sebelum menghubungi pasukan bantuan HANDALAN APM Sandakan untuk mengeluarkan buaya berkenaan dari parit,” katanya.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_e59a052dcae7485f91f7e063121c2e88~mv2.jpg/v1/fill/w_960,h_540,al_c,q_85,enc_auto/d65831_e59a052dcae7485f91f7e063121c2e88~mv2.jpg)
Sulaiman berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan dari petugas Taman Buaya Sandakan untuk mengangkat buaya tembaga kira-kira seberat 180 kilogram.
Katanya, operasi berjalan lancar dan buaya berkenaan terus diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
Comments