Buaya tembaga 50kg berjaya ditangkap orang awam, APM Sandakan
29 Disember 2024
SANDAKAN: Orang awam disini terkejut apabila terlihat seekor buaya tembaga berada di parit besar dekat Bandar Megah, Sandakan, pada Sabtu malam.
Susulan itu, pengadu kemudian membuat laporan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan melalui talian MERS 999 bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap buaya itu.
Menerusi satu kenyataan di Sandakan pada Ahad, Pegawai APM Sandakan, Kapt. Sulaiman Salama, berkata, pihaknya menerima panggilan itu pada jam 7.08 malam semalam kemudian menghantar 4 anggotanya ke lokasi berkenaan.
Jelasnya, setibanya petugas APM di lokasi, pada jam 7.15 malam, buaya itu telah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung kemudian petugas APM Sandakan mengikat buaya tersebut lalu menghubungi petugas Jabatan Hidupan Liar (JHL).
Sulaiman menambah, operasi itu tamat pada jam 7.34 malam dan buaya tembaga sepanjang 10 kaki yang dianggarkan seberat 50kg itu kemudian diserahkan kepada JHL untuk tindakan selanjutnya.
Tiada kemalangan jiwa melibatkan orang awam serta petugas APM Sandakan dalam operasi itu.
Comments