Bubur Lambuk Dan Perpaduan : Resepi Kejiranan Harmoni
nabalunews

10 Mac 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
TAMBUNAN: Program Gerak Rahmah 'Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan' yang berlangsung pada 8 Mac 2025 di Kampung Kitou Tambunan, yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai salah satu inisiatif bersempena bulan Ramadan.
Acara ini disempurnakan oleh Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau, Jeffsonzo Japrin, yang turut memuji usaha penganjur dalam menjayakan program tersebut.
Menurutnya, program ini merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh silaturahim antara masyarakat setempat selain menyantuni golongan memerlukan.

"Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik daripada Kementerian Perpaduan Negara, khususnya dalam menggalakkan perpaduan melalui aktiviti kemasyarakatan seperti ini. Tahniah kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT Kampung Kitou atas kerjasama erat mereka dalam menjayakan program ini," katanya.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO Bahagian Keningau, Muhammad Haisam Hamzani, yang mengiringi Jeffsonzo sepanjang acara berlangsung.
Pengerusi KRT Kampung Kitou, Lazurus Dijin, menjelaskan bahawa bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong itu telah diedarkan kepada golongan asnaf untuk berbuka puasa, selain diberikan kepada komuniti Kampung Kitou sebagai simbol perpaduan.
Menurut Lazurus, kehadiran ramai pihak dalam program ini membuktikan betapa pentingnya semangat kejiranan dan kebersamaan dalam sesebuah komuniti. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengagihan bubur lambuk tersebut.
Turut memberikan sokongan dalam program ini ialah Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Tambunan, Peter Yasin, yang memuji keberkesanan inisiatif ini dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
Peter berkata, dengan adanya program seperti ‘Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan’, ia bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah mengukuhkan lagi hubungan antara penduduk setempat, dan berharap program ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi memperkukuh perpaduan nasional serta menanamkan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Comments