top of page
nabalunews

Bukan masa untuk menuding jari, sama-sama majukan Penampang - Pemuda UPKO


2 Oktober 2024


PENAMPANG: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang, Billy Joe Dominic tampil menjawab dakwaan Naib Presiden Parti Warisan, Terrence Siambun mengenai Pelan Mitigasi Banjir, Hospital dan pembangunan di Penampang seperti yang dilaporkan media tempatan baru-baru ini.


Mengenai Pelan Mitigasi Banjir di Penampang, Billy Joe berkata dakwaan bahawa Warisan telah meluluskan pelan mitigasi banjir di Penampang adalah tidak benar.


"Sebenarnya, pelan ini diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum Warisan memerintah. Namun, pelaksanaan projek Tebatan Banjir Penampang terhenti selama hampir tiga tahun disebabkan oleh kekurangan peruntukan untuk mengalihkan utiliti dan masalah pemindahan penduduk di kawasan pembinaan tebatan banjir.


Namun katanya apabila Datuk Ewon Benedick mengambil alih sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau berusaha mendapatkan peruntukan tambahan dan mempermudahkan urusan agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut. Kini, dengan usaha Ewon, projek tebatan banjir sedang giat dijalankan demi manfaat penduduk Penampang.


Berhubung dakwaan Terence kononnya Hospital Penampang telah diluluskan semasa era pemerintahan Warisan, Billiy Joe berkata hakikat dan kenyataannya, tiada hospital yang diluluskan pada masa itu.


Sebaliknya, hanya sebuah klinik kelas 3 yang dirancang untuk dibina. Klinik ini dijangka akan ditender pada tahun 2025. Peruntukan asal untuk projek ini telah ditarik balik kerana kegagalan pelaksanaannya pada waktu yang ditetapkan.


"Sekali lagi, Ewon memainkan peranan untuk memohon agar peruntukan tersebut disalurkan semula untuk memastikan pembinaan klinik ini dapat diteruskan," katanya.


Billy Joe berkata dalam aspek pendidikan di Penampang, kerajaan telah menyediakan peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah di Penampang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.


Selain itu, pelajar dari Penampang juga mendapat manfaat daripada pinjaman boleh ubah Yayasan Bank Rakyat serta biasiswa Angkasa yang ditawarkan kepada anak-anak ahli Koperasi yang ingin melanjutkan pelajaran.


"Agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memainkan peranan aktif dalam menyokong sekolah-sekolah dan membantu pembangunan pendidikan di Penampang," katanya.


Menurut Billy Joe lagi, meskipun tempoh dua tahun pentadbiran Ewon di Penampang mungkin bukan sempurna, namun terdapat beberapa pencapaian yang signifikan, antaranya:


Penyelesaian masalah tanah di Togudon,

pembinaan jambatan di Babagon, pembinaan jalan raya Terian-Buayan serta pembinaan projek Tamu Desa.


Katanya, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh agensi KUSKOP juga aktif membantu golongan usahawan di Penampang.


Menurut Billy Joe, penjelasan beliau ini bukanlah bertujuan untuk menyerang mana-mana pihak, sebaliknya untuk membetulkan fakta yang mungkin disalahertikan oleh rakan-rakan di Warisan.


"ADUN Moyog masih daripada Warisan, dan Warisan juga merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan. YB Yusoff Apdal, adik kepada Presiden Warisan, juga merupakan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan," katanya


Sehubungan itu beliau berkata ini bukan masa untuk menuding jari atau berpolitik.


"Sebaliknya, marilah kita bersama-sama menyelesaikan masalah di Penampang dan berusaha memajukan kawasan ini.


"Bila tiba masa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), barulah kita berpolitik. Buat masa ini, sebarang kekurangan boleh disempurnakan melalui kerjasama. Itu lebih baik untuk semua pihak," tegasnya.

Comments


bottom of page