Bunuh ibu mertua, menantu dihadapkan ke Mahkamah

13 Mac 2025
SANDAKAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis, atas pertuduhan membunuh ibu mertuanya dalam kejadian, 2 Mac lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan disebabkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh, Totoh Amin, 31, didakwa membunuh ibu mertuanya, Norina Sapuri pada 2 Mac lalu antara jam 9 pagi hingga 4.40 petang.
Kejadian dilaporkan berlaku di jalan ke kawasan perumahan setinggan Batu 2 ½, di sini dan kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sandakan, Siti Aisyah Umar Baki menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Pendakwaan kes dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Zamri Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan juga tidak diberikan kebenaran ikat jamin.
Comentários