top of page

BWI Mangsa Banjir disalur menerusi BSN

nabalunews

24 Februari 2025


KOTA KINABALU: Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diperuntukkan untuk mangsa setiap kali bencana banjir akan disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).


Kaedah baharu pengagihan wang bantuan itu adalah sebagai satu usaha untuk mengelakkan ketirisan penyaluran bayaran BWI.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu susulan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan BSN.

Katanya, kaedah itu jelas memudahkan pembayaran bantuan khususnya kepada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).


“BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara baru-baru ini sudah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mangsa yang berpindah ke PPS berdasarkan senarai lengkap yang direkodkan.


“Namun ada dalam kalangan mangsa banjir berkenaan yang tidak tinggal di PPS, maka mulai tahun ini pihak NADMA dan Kementerian Kewangan mengubah cara pengagihannya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido, di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.


Zahid berkata, sebelum ini, penyerahan sumbangan dilakukan melalui sistem konvensional iaitu melalui Pejabat Daerah, Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).


“Bagaimanapun, setelah mengadakan rundingan, senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan itu akan mendapat bantuan wang ihsan melalui BSN.


“Menerusi kaedah ini, semua mangsa bencana yang sudah disenaraikan boleh ke cawangan BSN berhampiran untuk menuntut BWI masing-masing.


Menurutnya, keputusan NADMA itu juga mengambil kira permintaan kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai mangsa yang tidak berpindah ke PPS walaupun kawasan rumah mereka dilanda banjir.


Sementara itu, Zahid berkata, pihaknya akan melakukan beberapa urusan tatakelola untuk pengesahan bagi memastikan penerima adalah benar-benar mangsa banjir.


“Kita akan dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengenai perkara ini dan kita akan lakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaannya,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page