Cadangan Panjangkan Cuti Umum Aidiladha kepada Dua Hari

19 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertimbangkan penetapan cuti umum selama dua hari bagi sambutan Aidiladha di seluruh negara, berbanding hanya sehari ketika ini.
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Barisan Nasional), berkata tempoh cuti sedia ada itu tidak mencukupi, sekaligus menyukarkan ramai rakyat untuk meraikan perayaan berkenaan.
Katanya, pemanjangan tempoh cuti akan memberi kemudahan logistik kepada rakyat, terutamanya bagi mereka yang perlu pulang ke kampung halaman untuk menunaikan ibadah korban.
"Seksyen 3 Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) memperuntukkan satu hari cuti umum bagi Hari Raya Haji (Aidiladha) di seluruh negara, kecuali di Kelantan dan Terengganu yang menikmati cuti selama dua hari.
"Cuti sehari terlalu singkat bagi mereka yang ingin pulang ke kampung bagi melaksanakan ibadah korban serta meraikan Aidiladha," katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, Shamshulkahar menggesa kerajaan, khususnya Jabatan Perdana Menteri, agar meneliti cadangan berkenaan.
Katanya, bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menyambut Aidiladha dalam keadaan lebih sempurna.
Comentarios