top of page
Wartawan Nabalu News

Cadangan pemberian kad warga asing, umpama menjilat ludah sendiri oleh GRS - Ewon


10 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyifatkan cadangan kerajaan memberi dokumen kad warga asing kepada pendatang asing sebagai umpama menjilat ludah sendiri oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


“Saya tidak tahu pendirian sebenar pimpinan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai cadangan baharu ini tetapi sebelum ini mereka lantang menentang cadangan Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu mahu memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing di Sabah.


“Cadangan itu sebelumnya dikenali sebagai Pas Residen oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Tan Sri Pairin Kitingan selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu dan cadangan pemberian Pas Residen ini juga disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah. Semasa kerajaan PBS terdahulu, mereka juga laksanakan proses bancian dan berikan dokumen Sijil Banci kepada pendatang asing di Sabah.


“Pimpinan parti-parti dalam GRS dan para penyokong mereka lantang memutar-belit cadangan pemberian PSS tanpa menjelaskan cadangan sebelumnya iaitu Pas Residen. Tetapi hari ini, mereka bukan hanya menjalankan proses bancian yang dinamakan Program Pendataan Pendatang Asing di Sabah, tetapi juga akan memberikan dokumen baharu kepada mereka.


“Ini umpama menjilat ludah mereka sendiri. Siapa yang akhirnya terbukti mesra pendatang asing? Bukankah mereka?” katanya.


Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa diminta mengulas laporan media yang menyatakan kerajaan mempertimbangkan untuk memberi dokumen kad warga asing kepada pendatang asing.


Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainudin dilaporkan menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Pendatang Asing di Sabah, di ibu negara.


“Sepertimana saya katakan sebelum ini, kerajaan negeri GRS perlu menyatakan dasar sebenar mereka berkenaan penyelesaian ke atas masalah pendatang asing di Sabah. Yang nyata, bahan kempen mereka semasa pilihanraya negeri (PRN) Sabah untuk menghantar kumpit-kumpit balik ke negara asal kini hanya tinggal cakap-cakap sahaja, satu kegagalan besar di pihak kerajaan,” katanya.

コメント


bottom of page