top of page
Wartawan Nabalu News

Cadangan pengurangan kadar parkir Penampang sudah diangkat kepada Majlis Perbandaran Penampang: Ewon

13 November 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan untuk mengurangkan kadar caj tempat letak kereta di Donggongon telahpun diangkat kepada Majlis Perbandaran Penampang.


Beliau berharap, pewartaan baharu untuk mengurangkan kadar parkir itu dapat dilaksanakan tahun depan.


“Saya mendengar (keluhan caj tempat letak kereta) daripada rakyat dan pengguna di Penampang. Saya telah menyampaikan pandangan saya kepada Presiden (Majlis Perbandaran Penampang) untuk mempertimbangkan supaya dapat diturunkan kadarnya.


“Saya tahu Presiden dan Majlis Perbandaran juga telah mendengar dan mudah-mudahan pada tahun hadapan akan ada pewartaan untuk kadar parking itu dapat dikurangkan sedikit.


“Ini kerana, kita maklum cabaran ekonomi masih berlaku dan dengan pemindahan (Tamu Donggongon) sementara ini kesesakan pasti berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan kanopi kepada wakil penjaja dan peniaga kecil-kecilan Tamu Donggongon, di sini, hari ini.


Pada majlis ringkas itu, Ewon menyampaikan sumbangan kanopi bernilai lebih RM66,000 kepada 434 peniaga kecil dan penjaja Tamu Donggongon.


Kesemua peniaga itu yang sebelum ini berniaga di Tamu Donggongon dipindahkan sementara di tapak baharu berdekatan Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin bagi memberi laluan kepada kerja-kerja awal penaiktarafan Tamu Donggongon.


Ewon berkata, beliau turut menyokong Majlis Perbandaran mencipta sumber pendapatan baru termasuk pelaksanaan caj tempat letak kereta untuk membangunkan kawasan Donggongan dan bandar Penampang.


“Ini kerana tanpa hasil baru, tidak mungkin kita boleh membangunkan bandar Penampang. Tetapi dalam masa yang sama, kita harus meneliti, mendengar dan menangani dengan sewajarnya pandangan daripada semua pengguna.


“Oleh itu saya sedang berjuang dan telah meminta supaya caj parkir itu dapat dikurangkan,” katanya.


Beliau berkata, cadangan untuk mengurangkan kadar caj tempat letak kereta itu telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran dan yakin ahli-ahli Majlis Perbandaran Penampang dapat memberikan keputusan sewajarnya.


“Keputusan perjanjian untuk menetapkan caj parking ini dibuat sebelum saya menjadi Ahli Parlimen Penampang.


“Sebagai Ahli Parlimen hari ini, saya meminta supaya pandangan semua pengguna dapat diteliti oleh ahli-ahli Majlis Perbandaran Penampang yang telah dilantik baru-baru ini,” katanya.


Mengenai projek-projek pembangunan lain di kawasan Penampang yang melibatkan peruntukan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, Ewon berkata, beliau akan terus memantau semua pelaksanaan termasuk penaiktarafan jalan Terian-Buayan agar dapat disiapkan mengikut jadual.


“Ianya dibincang secara tetap sebulan sekali dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah yang saya hadir dan dipenguruskan oleh Presiden Majlis Perbandaran,” katanya.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Majlis Perbandarann (Francis Chong) kerana telah memastikan semua projek yang dibiayai oleh kerajaan dibincangkan setiap bulan dalam jawatankuasa itu.


“Ini termasuklah kelewatan penyiapan Stadium Penampang yang sedang ditangani sekarang dan sub station SESB yang juga sedang ditangani sekarang selepas ianya dibincangkan secara tetap dijawatankuasa tindakan daerah,” katanya.

Comentários


bottom of page