Cadangan wujud Majlis TVET Sabah
- nabalunews
- Aug 17, 2024
- 2 min read

17 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN : Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah bakal diwujudkan jika dipersetujui kabinet negeri dan dicadang dilaksanakan selewatnya awal tahun hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata, ketika ini kertas kerjanya juga sedang disiapkan sebelum ia dibawa ke kabinet.
"Ini juga antara usaha memperkasa TVET di negeri ini yang mana ia akan dianggotai pegawai berkaitan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pihak universiti tempatan, KSTI dan yang pakar dalam TVET," katanya kepada pemberita di Kinabatangan.
Beliau ditemui sejurus merasmikan Festival Pendidikan STEM Dan TVET Peringkat Negeri Sabah 2024 anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Seminar Datu Paduka Mat Salleh, Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, hari ini.
Arifin juga berkesempatan melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan serta Masjid Daerah Kinabatangan dan menyaksikan penyampaian sumbangan aktiviti dakwah dan keagamaan 2024 daripada Majlis Ugama Islam (MUIS) selain sumbangan daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada IPD Kinabatangan.
Masjid itu dan turut menyampaikan 22 watikah pelantikan Imam Rawatib di kawasan Kinabatangan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan, Dr.Dalmansa Tahil, Timbalan Setiausaha Tetap KSTI, Syahrin Samsir dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar wakil pengarah pendidikan negeri dan jemputan lain.
Arifin bangga dengan peningkatan penyertaan pada kali ini dengan 70 penyertaan berbanding 30 pada program yang lepas di Kinabatangan.
Turut disampaikan bantuan aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) sebanyak RM74,000 untuk sekolah-sekolah sekitar Kinabatangan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan juga katanya komited dalam meningkatkan bidang Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini dengan sasaran 60 peratus sains dan 40 peratus aliran seni.
Berhubung perkembangan pendidikan anak-anak di Sabah, katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga sangat prihatin apabila memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi pembangunan modal insan termasuk pendidikan, biasiswa dan pelbagai bantuan berkenaan.
Comentarios