top of page
  • nabalunews

Caj yuran masuk kawasan mendaki Hutan Simpan Leila, Sandakan

Pertemuan George bersama Asran dari Jabatan Perhutanan Sabah.

12 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin mengumumkan bahawa Jabatan Perhutanan Sabah telah membatalkan caj yuran masuk bagi kawasan mendaki yang terkenal di Sandakan iaitu Hutan Simpan Bukit Leila, berkuatkuasa serta-merta.


Katanya, langkah ini bagi mempromosikan aktiviti riadah dan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat dari dalam dan luar Sandakan.


George mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pegawai Perhutanan Sandakan, Asran Asa.


Jelas George, sebelum ini pihaknya telah menerima beberapa aduan daripada pendaki di Sandakan berkenaan caj yang dikenakan untuk masuk ke kawasan pendakian di Bukit Leila, Sandakan.


Sebelum mendaki, mereka perlu mendaftar dan membayar caj masuk di pejabat Jabatan Perhutanan sebelum boleh memasuki hutan itu melalui pusat futsal Sandakan di Batu 4, di sini.


“Tempat ini dikatakan sebagai kawasan pendakian terbaik di Sandakan tetapi semua syarat ini telah membuatkan pendaki tidak lagi mahu membuat aktiviti mendaki di Bukit Leila," katanya.


George juga telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, yang kemudiannya mengatur pertemuan dengan pegawai beliau di Sandakan.


Jelasnya, selepas membincangkan masalah ini bersama Asran, dan seterusnya berbincang semula dengan Frederick, Jabatan Perhutanan Sabah akhirnya bersetuju untuk membatalkan caj masuk bagi pendaki di Bukit Leila, Sandakan.


Dalam pada itu, George merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Sabah khususnya kepada Datuk Frederick Kugan atas sikap keterbukaan beliau yang membolehkan orang ramai menikmati kawasan hutan ini tanpa dikenakan caj atau yuran masuk.


George berkata beliau memahami bahawa jabatan tersebut menjalankan tugas untuk memulihara hutan simpan Bukit Leila yang dikategorikan sebagai hutan simpan kelas I. 


Justeru, beliau menyeru semua pendaki sentiasa berdisiplin dan tidak membuang sampah khususnya sampah plastik di Bukit Leila itu.


Manakala katanya aktiviti berkhemah, mendirikan khemah, menebang pokok, dan memanggang adalah dilarang sama sekali di kawasan itu bagi memastikan kelestarian alam semula jadi dan hidupan di hutan itu.


Satu kaunter pendaftaran juga akan dibuka di pusat Futsal Sandakan untuk merekodkan maklumat pendaki untuk keselamatan mereka.


George juga menasihatkan pendaki untuk mendaki secara berkumpulan dan memastikan sekurang-kurangnya dua individu atau lebih membawa bersama telefon pintar sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.

Comments


bottom of page