Calon SPM Terjejas Banjir Boleh Duduki Mana-mana Pusat Peperiksaan - Fadhlina
30 November 2024
KOTA BHARU : Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap berjalan seperti biasa termasuk di negeri terjejas banjir bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan calon SPM.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata calon SPM yang terjejas akibat banjir boleh menduduki peperiksaan itu di mana-mana pusat peperiksaan yang ditetapkan.
"Kementerian saya telah mempersiapkan pusat-pusat peperiksaan SPM supaya mereka mempunyai keupayaan menerima calon luar dari daerah mereka dalam situasi kecemasan akibat bencana banjir.
“Kalau sesebuah sekolah itu terjejas, mereka boleh mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Demit di sini pada Jumaat.
Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan bersedia daripada pelbagai aspek dan telah mengambil langkah drastik memastikan semua calon menduduki peperiksaan SPM sekiranya sekolah mereka terjejas.
Comments