Cawangan Wanita UPKO Kadamaian perlu sokong pelan pembangunan diperjuangkan Ewon
5 Oktober 2024
KOTA BELUD: Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Datin Saniah Tuak menyeru agar semua cawangan Wanita UPKO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian untuk memberikan sokongan penuh terhadap pelan pembangunan yang telah diperjuangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Beliau turut memberikan persetujuan untuk membawa usul mencadangkan projek pembuatan kraftangan berupa bakul untuk dikemukakan kepada Ewon selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Cadangan ini disuarakan Julia Anggau, Ketua Cawangan Wanita UPKO Kampung Piasau dan disalurkan melalui AJK Bahagian Wanita UPKO Kota Belud.
Saniah berkata demikian di majlis jualan bazar dan program ramah mesra Wanita Pusat Daerah Mengundi Piasau dengan Ahli Jawatankuasa Wanita N11 Kadamaian di di perkarangan Pejabat ADUN Kadamaian Skyblue Piasau, hari ini.
Selepas menyampaikan ucapan, Saniah meluangkan masa melawat gerai-gerai bazar yang diusahakan oleh peniaga wanita dari Cawangan UPKO Kampung Piasau, di mana beliau turut memberikan sumbangan sebagai tanda sokongan kepada mereka.
Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan Zumba oleh Cawangan Wanita UPKO Kampung Piasau N11 Kadamaian, yang menambah lagi keceriaan kepada acara tersebut.
Comentarios