CCCT sambut baik penangguhan dasar baharu yuran lesen perniagaan di Tawau
17 Disember 2024
TAWAU: Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT) menyambut baik penangguhan dasar baharu yuran lesen perniagaan yang sepatutnya dijadual akan dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) pada 2025.
Presiden CCCT, Chia Seong Fatt berkata, pihaknya amat menghargai usaha semua pihak terlibat yang membolehkan perkara itu diumum akan ditangguhkan sehingga satu kajian lanjut dilakukan oleh Kabinet Negeri.
Menurutnya, penangguhan dasar tersebut bukan sahaja memberikan ruang penyesuaian kepada komuniti perniagaan tetapi juga mencerminkan betapa pentingnya interaksi konstruktif di antara kerajaan dan rakyat.
“Daerah ini majoritinya bergantung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sedang menghadapi cabaran ekonomi yang tidak stabil serta kekurangan tenaga kerja, maka penangguhan ini sedikit melegakan penggiat PKS,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Chia berkata, CCCT amat berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN kawasan Tawau atas sumbangan aktif mereka sehingga isu ini mendapat perhatian kerajaan.
Demikian juga, katanya, dengan sumbangan pelbagai persatuan dan media atas usaha bersama yang membuahkan hasil positif tersebut demi komuniti peniaga di daerah ini.
“Phoong sendiri beberapa kali melalui pelbagai saluran menyuarakan sokongan terhadap komuniti perniagaan di Tawau dengan menekankan keperluan penangguhan dasar ini, mengambil kira kemampuan sebenar PKS daerah ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, isu berkenaan turut ditangani secara profesional apabila Presiden MPT, Joseph Pang dan pasukannya menunjukkan keterbukaan dan tanggungjawab sepanjang proses perbincangan apabila mengambil kira pandangan serta cadangan daripada komuniti peniaga.
Tambahnya, pihaknya akan terus memantau perkembangan dasar ini dan menyeru komuniti peniaga daerah ini untuk menyokong langkah-langkah seterusnya oleh kerajaan demi kemakmuran ekonomi dan keharmonian masyarakat Tawau.
Sebelum ini, CCCT menyuarakan kebimbangan terhadap impak pelaksanaan Dasar Baharu Undang-Undang Kecil Seragam oleh MPT kerana khuatir memberi beban kewangan serta operasi perniagaan tempatan.
Comentários