Ceramah pertanian dan perikanan di Kg Gensurai beri manfaat kepada peserta program
8 November 2024
KOTA BELUD: Program ceramah pertanian dan perikanan telah diadakan di Kampung Gensurai, Kadamaian, Kota Belud pada Jumaat, 7 November lalu yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk dalam bidang pertanian dan penternakan, agar peluang ekonomi di sektor tersebut dimanfaatkan.
Program ini dianjurkan bersama menerusi kolaborasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Penduduk Kampung Gensurai (PPKG), dan Koperasi Persatuan Penduduk Kampung Gensurai Berhad (KPKKGB) dan dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ceramah yang diadakan melibatkan dua sesi utama. Sesi pertama berkaitan teknik dan inovasi dalam bidang pertanian, dikendalikan oleh pegawai dari Jabatan Pertanian Kota Belud, yang berlangsung di dewan terbuka Kampung Gensurai. Peserta didedahkan dengan pengetahuan terkini mengenai amalan pertanian moden, termasuk teknik penanaman yang lebih efisien dan berdaya maju.
Sesi kedua pula memfokuskan kepada kursus asas penternakan ikan air tawar, yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Perikanan Kota Belud. Sesi ini diadakan di Kolam Derolobou Gensurai, di mana peserta berpeluang mempelajari asas-asas penternakan ikan air tawar, termasuk penjagaan kolam dan pemakanan ikan, yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.
Majlis perasmian ini turut dihadiri Penolong Pegawai Pertanian Kota Belud, Hamney Kiong; Pengerusi JKKK Kampung Gensurai, Vod Zanik Sidin; Ketua Kampung Gensurai, Ribin Batingot; serta beberapa pemimpin kampung dari kawasan sekitar.
Inisiatif seperti ini diharap dapat menjadi platform bagi penduduk untuk membina kemahiran dan pengetahuan yang relevan, seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka melalui sektor pertanian dan perikanan yang lebih produktif dan berdaya saing untuk membantu mengukuhkan ekonomi komuniti setempat.
Comments