top of page

CLC UPKO Bandau Agih 300 Mangkuk Bubur Lambuk di Kota Marudu

nabalunews


25 Mac 2025


KOTA MARUDU : Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bandau telah mengagihkan sebanyak 300 mangkuk bubur lambuk kepada masyarakat setempat dalam satu program kebajikan di sekirar pasar malam dan Masjid Kota Marudu.


Program ini dianjurkan oleh Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ranau, Kota Marudu, dan berlangsung pada 22 Mac 2025. Pengagihan bubur lambuk ini diketuai oleh Ketua CLC Bandau, Suzie Salapan, bersama Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin, serta Ketua PDM Ranau, Molly George Abah.


Menurut Suzie, program pengagihan bubur lambuk ini adalah inisiatif tahunan yang bertujuan mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Kota Marudu, khususnya sempena bulan Ramadan.



"Kami ingin menyemarakkan semangat perpaduan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, terutama dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini," katanya ketika ditemui di lokasi program.


Pengedaran bubur lambuk dilakukan di sekitar Pasar Malam Kota Marudu dan Masjid Daerah Kota Marudu. Orang ramai yang hadir di lokasi tersebut menyambut baik inisiatif ini dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.


Jamil, turut menyatakan bahawa program sebegini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara kaum tetapi juga mencerminkan nilai kesepakatan dan kebersamaan dalam komuniti.


"Kami akan terus mengadakan program seperti ini bagi memastikan masyarakat mendapat manfaat dan berasa dihargai," ujarnya.


Sementara itu,Molly menegaskan bahawa semangat gotong-royong yang ditunjukkan dalam penyediaan dan pengagihan bubur lambuk membuktikan betapa eratnya hubungan dalam kalangan penduduk setempat.


"Kesediaan semua pihak untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti ini amat menggalakkan dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang," tambahnya.


Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk sukarelawan yang membantu dalam proses memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.


Dengan kejayaan program ini, CLC UPKO Bandau berharap dapat terus menganjurkan aktiviti kebajikan lain yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Kota Marudu dan sekitarnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page