top of page
Wartawan Nabalu News

Colista Kiloh juara Pertandingan Menulis Novel Kadazandusun kali ke-4


Dompok (tiga dari kanan), Philip (dua kanan) dan Rita bergambar bersama pemenang pertandingan menulis novel Kadazandusun kali ke-4

22 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Colista Kiloh dari Kg.Timbou, Tambunan juara Pertandingan Menulis Novel Kadazandusun kali keempat melalui karyanya bertajuk 'Ninavau Di Au Nokito’.


Dengan kemenangan itu beliau menerima hadiah wang tunai RM7,500, tropi dan sijil penyertaan.


Colista Kiloh

Beliau berterima kasih kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan pertandingan seumpama itu.


“Saya menyertai pertandingan menulis novel Kadazandusun sebagai sokongan kepada usaha Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) memperbanyakkan buku-buku atau novel dalam bahasa Kadazandusun.


“Sejak kecil saya memang minat membaca novel tetapi tiada buku cerita dalam bahasa Kadazandusun. Saya berharap melalui pertandingan ini akan meningkatkan lagi minat para penulis Kadazandusun untuk menghasilkan lebih banyak buku bacaan dalam bahasa kita,” katanya.


Colista berkata, cerita dalam novel itu mengisahkan kisah sebenar kehidupan seseorang yang berhadapan pelbagai cabaran hidup dan bagaimana mengatasinya.


Sementara itu tempat kedua dimenangi oleh penulis novel ‘Ngingis Nu’, Noemi Salikup dari Kg.Taginambur Tamparuli.


Noemi Salikup

Dengan kemenangan itu beliau menerima hadiah wang tunai RM4,500 dan sijil penyertaan.


Noumi berkata, bukan mudah menulis novel dalam bahasa Kadazandusun kerana kurang bahan rujukan dan tiada asas dalam penulisan terutamanya menulis novel.


"Saya memang tahu berbahasa Dusun tetapi ia berbeza dari segi penulisan dan pertuturan sebab ejaan dan tanda bacaan mesti tepat agar mudah difahami.


“Cara saya ialah merujuk kamus Bahasa Kadazandusun, baca suratkhabar Kadazandusun, dengar radio dan lagu-lagu dalam bahasa Dusun atau Kadazan,” katanya semasa majlis penyampaian hadiah secara maya, semalam.


Bagi pemenang tempat ketiga Priscilla Gukim, dia mendapat idea menulis novel bertajuk 'Ika' berdasarkan pengalamannya sebagai guru Bahasa Kadazandusun di sebuah sekolah bahagian Pantai Timur Sabah.


Priscilla Gukim

“Antara cabaran saya sebagai guru BKD di sebuah sekolah di Sandakan ialah perbezaan bahasa masyarakat pantai timur dengan bahasa di kampung saya,” katanya yang berasal dari Kg.Togudon Penampang.


Beliau berharap, masyarakat Kadazandusun membaca novel itu dan menjadikannya sebagai pendorong atau motivasi untuk melaksanakan sesuatu kerja sepenuh hati


Priscilla memenangi hadiah wang tunai RM3,000.


Hadiah saguhati dimenangi oleh Wilin Ransidin Sambandor, Angela @ Nelly Peter Lidadun, Olga George Kiloh, Alice Salat, Neomi Jemmy @ Edward dan Viannie Tongguritom.



Semua hadiah disampaikan oleh Penasihat KLF Tan Sri Bernard Dompok. Turut hadir Pengerusi KLF Datuk Philip Lasimbang dan Ketua Pegawai Eksekutif KLF Rita Lasimbang.

Comments


bottom of page