COP29: Setiap negara perlu bangunkan Pelan Peralihan Tenaga capai hasil ketara - Nga
21 November 2024
BAKU (Azerbaijan): Setiap negara perlu membangunkan dan melaksanakan pelan peralihan tenaga yang terperinci untuk mengurangkan jejak karbon dan menangani krisis iklim global bagi mencapai hasil yang ketara.
Perkara itu dicadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semasa forum peringkat tinggi mengenai pembiayaan untuk tindakan iklim bandar pada Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) di bawah Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.
Nga berkata beliau turut berkongsi komitmen Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan jejak karbon, lapor Bernama.
NETR, satu pelan tindakan untuk landskap tenaga mampan, dijangka meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia daripada RM25 bilion pada 2023 kepada RM220 bilion menjelang 2050 di samping mewujudkan 310,000 pekerjaan.
Beliau turut mencadangkan agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerajui usaha menubuhkan sekretariat tetap bagi membangunkan pelan induk menyeluruh pada peringkat antarabangsa, lengkap dengan indikator prestasi dan pelan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan penyelarasan.
"Kita tidak boleh terus mengulangi pendekatan yang dilakukan dan berharap masalah dapat diselesaikan. Semua tahu bahawa (perubahan iklim) adalah serius. Sebab itulah kita tidak boleh bergantung pada kerajaan sahaja.
"Anda perlu mengambil pendekatan 4P – people (rakyat), public (awam), private partnership (perkongsian swasta) – untuk menunjukkan bahawa perubahan iklim bukanlah sekadar masalah sesebuah negara. Perubahan iklim melangkaui sempadan dan melibatkan kelangsungan hidup manusia," katanya.
Nga berkata walaupun dunia berikrar untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celcius di bawah Perjanjian Paris yang dimeterai pada 2016, namun krisis iklim hari ini menunjukkan dunia jauh tersasar daripada landasan.
Justeru, beliau berkata terdapat keperluan menilai kembali tanda aras kelayakan kredit supaya pembiayaan hijau diberi keutamaan untuk memastikan negara membangun dapat melaksanakan lebih banyak projek hijau.
"Sudah tiba masanya untuk bertindak. Kita sudah ada COP29 (dan) semua perlu bertanyakan soalan – Perjanjian Paris ditandatangani oleh 196 negara pada 2016, kini sudah lapan tahun, apa yang sudah dicapai? – Kini masanya untuk refleksi diri dan menyeru pelan tindakan," katanya.
Berkongsi komitmen Malaysia terhadap pembandaran mampan, Nga berkata beliau turut menyatakan visinya untuk membangunkan dan menaik taraf 1,000 Taman Awam MADANI dalam tempoh 10 tahun sebagai sebahagian daripada pelan adaptasi alam sekitar.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited untuk melancarkan Program Residensi Rakyat (PRR) terbaharu tahun depan, dengan ciri-ciri ketahanan iklim untuk memastikan perumahan awam lebih mampan.
Perkara ini katanya, sejajar dengan komitmen luas Malaysia untuk menangani perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan mampan.
Nga berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kementeriannya menetapkan sasaran untuk menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang hujung tahun depan, dengan 80 peratus atau 443,000 unit telah disiapkan setakat September lepas.
"Kita masih perlu membina 50,000 unit lagi, saya yakin kita dapat melakukannya menjelang akhir tahun depan. Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri pertama mencapai sasaran rumah milik mampu di bawah Rancangan Malaysia," katanya.
Comments