COVID-19: BORIS JOHNSON LAKSANA SEKATAN PERGERAKAN DI MANCHESTER

21 OKTOBER 2020
LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Selasa mengumumkan secara sepihak akan mengenakan sekatan tahap tertinggi di Greater Manchester untuk membendung COVID-19, setelah gagal mencapai kesepakatan dengan pegawai tempatan, lapor Agensi Anadolu.
Greater Manchester akan memasuki sekatan Tahap Tiga, melarang perhimpunan di dalam bangunan dan menutup pub dan bar kecuali jika mereka menyajikan hidangan utama.
Langkah terbaharu ini juga untuk menggalakkan orang ramai tidak melakukan perjalanan masuk atau keluar wilayah seminit sebelum tengah malam Jumaat.
Ia disertakan pakej sokongan ekonomi sebanyak £22 juta (US$28 juta) untuk Greater Manchester, yang menimbulkan kemarahan pemimpin tempatan, termasuk Datuk Bandar Andy Burnham, serta anggota parlimen dan pegawai terpilih lain, yang menganggap jumlah tersebut tidak mencukupi.
Johnson berkata tawaran "murah hati" itu diberikan kepada Greater Manchester, sama seperti yang ditawarkan kepada Merseyside - wilayah yang termasuk Liverpool - dan Lancashire, yang telahpun berada pada Tahap Tiga, tetapi pemimpin tempatan menolaknya.
Menurut laporan sebelumnya, pemimpin tempatan di Greater Manchester pada asalnya meminta bantuan ekonomi £90 juta, kemudian dikurangkan kepada £65 juta, namun kerajaan hanya menawarkan £60 juta.
Johnson enggan menjelaskan sama ada £60 juta yang dilapor ditawarkan oleh kerajaan kepada Greater Manchester masih wujud.
Pada sidang media berasingan Datuk Bandar Burnham menuduh pemerintah "menjauhkan diri" daripada perbincangan.
"Pada saat ini, kita tidak ditawarkan secukupnya untuk melindungi golongan termiskin di komuniti kita ditambah dengan ketibaan musim sejuk tidak lama lagi," kata Burnham.
Kedua-dua "£22 juta" dan "KingOfTheNorth" menjadi sohor kini di Twitter selepas pengumuman itu.
Sementara itu, data yang dikeluarkan kerajaan pada Selasa menunjukkan 21,331 orang diuji positif COVID-19 di seluruh UK dalam tempoh 24 jam terakhir - jumlah harian tertinggi sejak pandemik itu bermula. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 762,542.
Data juga menunjukkan 241 orang lagi meninggal dunia, jumlah kematian harian tertinggi sejak 5 Jun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 43,967. – Bernama
Comments