top of page

Covid-19: Jumlah kes harian di Sabah kembali meningkat di paras 300

nabalunews

30 March 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes jangkitan harian Covid-19 di Sabah hari ini menunjukkan sedikit peningkatan dengan 313 kes direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 367,195 kes.


Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pertambahan tersebut adalah sebanyak 62 kes berbanding jumlah semalam dan sekali gus melepasi paras angka 300.


“Kes harian yang semakin naik adalah sejajar dengan trend pertambahan jangkitan baharu di lebih banyak daerah di Sabah.


“Hari ini 14 daerah mencatatkan pertambahan yang didahului oleh Kota Kinabalu dengan 104 kes baharu, 40 kes lebih tinggi daripada sebelumnya. Putatan (30), Papar (28) dan Penampang (23) semuanya mencatatkan peningkatan jangkitan baharu.


“Daerah-daerah yang mencatatkan penurunan kes harian adalah pada kadar yang marginal dimana Telupid, Tongod dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu,” kata Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.


Sementara itu, peratusan jangkitan sporadik kembali naik hari ini dengan 64.22 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu.


Tambah beliau, ini bermakna risiko jangkitan virus covid-19 di kalangan masyarakat juga semakin tinggi.


“Sekali lagi rakyat diperingatkan agar sentiasa mematuhi semua standard operasi prosedur (SOP) khususnya semasa berada dikhalayak ramai lebih-lebih lagi di tempat-tempat yang sesak,” ujarnya.


Dalam pada itu, seramai 305 orang atau 97.45 peratus daripada 313 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Dua orang berada dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan tiga pesakit dalam Kategori 5 hari ini.


Bagaimanapun, satu kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Tuaran.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page