COVID-19: PASAR TANJUNG, PASAR IKAN TAWAU DITUTUP
13 OKTOBER 2020
TAWAU: Pasar Tanjung dan Pasar Ikan Tawau, di sini, ditutup sementara selepas lebih 10 peniaga dikesan positif COVID-19 sejak minggu lepas.
Pegawai Kesihatan Tawau Dr G.Navindran berkata arahan penutupan itu yang berkuat kuasa semalam, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dalam kalangan peniaga dan pelanggan di pasar itu.
"Kita minta Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menutup kedua-dua pasar dan notis penutupan sudah pun ditampal di pasar itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Dr Navindran turut menggesa peniaga serta pembantu gerai di pasar berkenaan supaya menjalani ujian saringan COVID-19.
"Pada minggu lepas, pihak kita ada melakukan saringan COVID-19 di Pasar Tanjung tetapi tidak semua peniaga menjalani saringan itu," katanya sambil menambah, pasar berkenaan tidak akan dibenarkan beroperasi jika peniaga enggan memberi kerjasama.
Selain itu katanya, kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di pasar itu juga akan dilakukan.
-- Bernama
Comments