top of page
  • nabalunews

Cubaan seludup 20.3 kilogram syabu ditumpaskan Kastam Sabah

4 September 2024


KOTA KINABALU: Modus operandinya, menggunakan bungkusan plastik berwarna kuning keemasan jenama Guanyingwang untuk menyeludup dadah jenis Methamphetamine masuk ke dalam negara ini melalui kargo udara.


Namun taktik itu berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah yang berjaya merampas 20.3 kilogram Methamphetamine dalam satu operasi di sebuah syarikat kargo udara di sini pada 30 Ogos lalu.


Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah Siti Mang berkata, rampasan dadah bernilai RM649,440 itu dibuat hasil maklumat daripada pegawai Kastam Kargo Udara, Pasukan Cawangan Narkotik Zon Sabah selepas mengesan satu bungkusan disyaki mengandungi dadah berbahaya.


“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan itu mendapati 20 bungkusan plastik kuning keemasan disyaki mengandungi dadah berbahaya.


“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 20,295 gram yang dianggarkan bernilai RM649,440.


“Kesemua dadah itu dibungkus menggunakan plastik berwarna kuning keemasan jenama Guanyingwang, dipercayai untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah di sini, hari ini.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.


Kastam Sabah juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan sebarang rangkaian sindiket yang lebih besar dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat.


Kastam Sabah meminta orang ramai agar membantu membanteras jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, merkuri, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti ini.


Tambahnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.


Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan ke

Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.


Pihak JKDM jmemberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Comments


bottom of page