Cubaan seludup 6,000 Liter Minyak Petrol dipatahkan

15 Februari 2025
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas lebih 6,000 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, operasi dilancarkan hasil maklumat berkenaan kegiatan itu yang diterima Unit Risikan Zon Maritim Kudat.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bertindak atas maklumat, aset ronda Bot ADAL 04 yang menjalankan rondaan OP SEJAHTERA /OP TIRIS /OP PLUTO TIMUR dan OP CEGAH PATI segera diatur gerak ke lokasi.

Katanya, bot suspek akhirnya berjaya dikesan pada jarak 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah, di sini.
“Bagaimanapun, semasa bot suspek cuba dihampiri, dua individu bertindak terjun
ke kawasan laut cetek sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.
“Bot suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan membawa muatan 30 tong berisi kira-kira 6,000 liter minyak petrol serta enam tong gas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasbullah berkata, semua barang berkenaan dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan
disyaki untuk tujuan pasaran gelap ataupun diseludup ke negara jiran berhampiran.
Katanya, bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina, Kudat untuk siasatan selanjutnya.
“Keseluruhan rampasan termasuk bot
dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan barang kawalan tanpa permit sah,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbullah memohon orang awam khususnya komuniti maritim untuk melaporkan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan sebarang salah laku atau jenayah di laut.
Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan Mers 999 yang beroperasi 24 jam.
Commentaires