top of page
nabalunews

Cubaan seludup minuman keras, ayam beku lebih RM1.3 juta digagalkan Kastam Sabah

17 Disember 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan ayam sejuk beku bernilai RM1.32 juta dalam empat siri rampasan berasingan baru-baru ini.


Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang berkata, modus operandi yang digunakan untuk menyeludup 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama itu adalah dengan membuat pengikraran palsu pada borang kastam.


Manakala 28,000 kilogram ayam sejuk beku pula dibawa masuk tanpa memiliki permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.


Siti berkata rampasan pertama dibuat hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 12 November lalu yang mendapati kontena berkenaan mengandungi 2,500 karton minuman keras yang tidak berkastam bernilai keseluruhan sebanyak RM376,233.


"Kes kedua pula berlaku pada 3 Disember 2024 kira-kira 9.50 pagi, apabila sepasukan pegawai kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu menahan dan memeriksa sebuah kontena di kawasan pemeriksaan kastam di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu," katanya pada sidang media di sini pada Selasa, lapor Bernama.


Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut juga mendapati minuman keras disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kastam 1967.


"Minuman keras yang juga barangan larangan dalam kes ini berjumlah 2,500 karton, bersamaan dengan 19,200 liter, yang dianggarkan bernilai RM72,768 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM297,676,” katanya.


Siti berkata, rampasan ketiga direkodkan pada 20 November lalu apabila 2,010 karton minuman keras jenama berjaya dirampas dengan anggaran nilai RM292,088.24 termasuk cukai di Pelabuhan Sepanggar.


Beliau berkata, rampasan keempat pula melibatkan pasukan penguatkuasaan yang berjaya merampas 28,000 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM285,600, termasuk cukai yang terlibat, yang juga cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar pada 6 Disember lalu.


Siti berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.


Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barangan atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.

Comentários


bottom of page