Curi Kabel: Dua Ditahan
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2025
TAWAU: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sebuah bangunan milik Sabah Softwood, di Kampung Pasir Putih, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, kegiatan kedua-dua lelaki terbabit terbongkar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pengawal keselamatan bangunan berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan empat pengawal keselamatan dikesan membawa sebuah guni berisi segulung kabel dan alat pemotong keluar dari bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas laporan diterima, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
"Sebaik tiba di pondok pengawal, polis menahan semula kedua-dua suspek yang diserahkan oleh pengawal keselamatan berkenaan bersama barang rampasan.
"Antara barang rampasan iaitu satu gulung kabel elektrik, mata gergaji besi yang diubahsuai, sebarang test pen, alat pemotong yang digunakan untuk membawa kabel curi berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Champin berkata, hasil semakan mendapati salah seorang suspek warga tempatan berusia 41 tahun memiliki enam rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
"Seorang lagi suspek adalah warga asing berusia 28 tahun turut memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Anggaran kerugian akibat kerugian kabel ini bernilai RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64," katanya.
Comments