top of page

Dadah, ketum dan mercun bernilai RM3.3 juta dirampas

  • nabalunews
  • Apr 9
  • 2 min read


9 April 2025


KOTA KINABALU: Dadah jenis syabu seberat 40 kilogram menjadi antara barangan seludup yang berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.


Dalam operasi selama 13 hari itu, pihak berkuasa turut berjaya merampas pelbagai barangan seludup lain seperti daun ketum, mercun dan bunga api, rokok dan kenderaan yang bernilai keseluruhan RM3.34 juta.


Operasi yang bermula 6 Mac lalu itu dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.



Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, operasi dilaksanakan hasil maklumat awam dan komitmen berterusan pihak JKDM Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan.


Katanya, kes pertama membabitkan rampasan dadah jenis Methamphetamine di daerah Semporna dalam serbuan 11 Mac lalu.


"Pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Semporna menyerbu Terminal Bas Semporna - Kota Kinabalu sebelum menemukan dua kotak mencurigakan.



"Hasil pemeriksaan mendapati kotak terbabit berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 40.787 kilogram (kg) dengan nilai RM1,305,184," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.


Saidin berkata, penyeludup dikesan menggunakan modus operandi dengan menyeludup dadah menggunakan terminal bas sebagai taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.



"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dadah berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Sementara itu, Saidin berkata, rampasan kedua membabitkan sembilan kotak berisi 125 kilogram serbuk hijau jenis ketum yang dirampas Terminal Bas Tawau.


Katanya, suspek dipercayai menggunakan bas persendirian bagi menyembunyikan bahan terlarang itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.



"Kes ketiga adalah rampasan bunga api dan mercun masing-masing 18 Mac lalu membabitkan mercun bernilai RM1.8 juta termasuk duti di Sandakan dan Lahad Datu.


"Semua barangan itu tidak memiliki permit import yang sah dan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967," katanya.


Saidin berkata, kes keempat melibatkan sitaan rokok tak bercukai dalam dua kenderaan berasingan pada pada 10 dan 12 Mac yang dianggarkan bernilai lebih RM24,000.


"Manakala kes rampasan terakhir direkodkan pada 13 Mac lalu melibatkan sebuah kereta jenis sedan bernilai RM15,000 dengan duti terbabit RM12,875 disita kerana melanggar tempoh kebenaran berada di tanah besar.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.


Sehubungan itu, Saidin berkata pihaknya berharap supaya orang awam terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat.


"Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page