Daerah Telupid, Beluran dan Sandakan isytihar bencana banjir
29 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Pengguna jalanraya Sandakan-Tawau dinasihatkan sentiasa peka dan berhati-hati ketika melalui jalan yang dilanda banjir.
Ketika beberapa jalan dilaporkan terjejas akibat banjir termasuk di Kampung Paris 3-Sandau, sempadan Daerah Kinabatangan- Lahad Datu.
Limpahan air dilaporkan berlaku di beberapa kawasan akibat hujan lebat sehingga menyebabkan laluan Kinabatangan - Lahad Datu tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan.
Setakat ini, Emergency Response Team (ERT) Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej 23 dan 30 berada di lokasi untuk memantau keadaan banjir selain mengemaskini maklumat dari semasa ke semasa.
Selain itu, laluan di Kilometer 70, berhampiran Bulatan Sapi-Nangoh menuju Sandakan turut dinaiki air sehingga laluan Telupid- Sandakan tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.43 pagi, semalam.
Katanya, berdasarkan pemantauan, terdapat banyak kenderaan turut terkandas susulan bencana banjir berkenaan.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinabatangan dalam satu kenyataan turut memaklumkan pihaknya memantau beberapa buah kampung yang berisiko banjir di Kinabatangan.
Setakat ini, beberapa pusat pemindahan penduduk terjejas sudah dibuka dan ketiga-tiga daerah terlibat juga mengisytiharkan Pembukaan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan ramalan hujan lebat di beberapa kawasan Pantai Timur Sabah antaranya Sandakan, Beluran dan Kinabatangan sehingga 31 Januari.
Comments