Dagangan Malaysia dijangka kekal kukuh, sasaran RM2 trilion dikekalkan
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_b7f1a2796afe4b998ff15d2b14f612f7~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_613,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_b7f1a2796afe4b998ff15d2b14f612f7~mv2.jpg)
9 Februari 2025
SHAH ALAM: Malaysia kekal optimis untuk mengekalkan nilai perdagangan melebihi RM2 trilion sepanjang tahun 2025, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk kelembapan ekonomi China dan perubahan pentadbiran Amerika Syarikat.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan bahawa ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, justeru sasaran tersebut diyakini dapat dicapai.
“Kami menyasarkan untuk kekal seperti yang pernah dicapai tahun lepas iaitu melebihi paras RM2 trilion.
“Kami masih menjangkakan perkembangan positif dalam ekonomi dan optimis untuk mencapainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Golf Amal KITA 2025 di Glenmarie Golf and Country Club, yang turut disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, lapor Berita RTM.
Pada tahun 2024, nilai dagangan Malaysia mencatat peningkatan 9.2 peratus kepada rekod tertinggi RM2.879 trilion, menjadikannya tahun keempat berturut-turut perdagangan negara melepasi paras RM2 trilion.
Kerajaan komited memastikan pertumbuhan ini terus berlanjutan dengan memperkukuh dasar perdagangan, menarik lebih banyak pelaburan asing, dan memastikan daya saing negara kekal tinggi dalam ekonomi global yang semakin mencabar.