top of page
nabalunews

Dakwaan 17 juta data MyKad bocor tidak benar - KDN

4 Disember 2024


JITRA: Kerajaan menafikan kebocoran data kad pengenalan atau MyKad milik 17 juta rakyat negara ini seperti didakwa di media sosial ketika ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail, berkata pemeriksaan rapi yang dilakukan agensi keselamatan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dakwaan itu mendapati ia tidak benar sama sekali.


Jelasnya, kerajaan memberi jaminan keselamatan data terutama MyKad terjamin dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.


"Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad yang dia kata 17 juta, tapi pamer beberapa keping.


"Saya segera semak, pertama dengan JPN bahagian berkenaan yang kedua, dengan bahagian keselamatan teknologi maklumat, kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.


Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan data kad pengenalan atau MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia yang didakwa bocor dan dijual di laman web gelap.


Pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa, sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap berkenaan.


Terdahulu, Saifuddin Nasution tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, dekat sini bagi meninjau keadaan mangsa banjir.


Jelas Saifuddin, kerajaan memberi jaminan berkenaan integriti data terutamanya melibatkan maklumat penduduk di negara ini.


"Kita minta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini.


"Mudah sekali sebar apabila tunjuk beberapa keping MyKad lepas tu kata 17 juta, lebih baik tidak disebarkan berita ini," ujarnya.

Bình luận


bottom of page