top of page
nabalunews

Dakwaan ADUN Rasuah, Hajiji serah kepada pihak berwajib


16 November 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kekal dengan pendiriannya untuk menyerahkan kepada pihak berwajib bagi melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.


"Biar jabatan yang berwajib ambil tindakan penyiasatan, Kita tunggulah," katanya.


Hajiji berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri Sabah 2024 sempena Majlis Penutupan Worldskills Malaysia Sabah 2024, di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, pada Sabtu.


Hajiji sebelum ini dilaporkan meminta supaya pemberi rasuah turut disiasat kerana pihak terbabit mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.


Beliau turut berkata, di pihaknya tidak menyembunyikan apa-apa dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinannya berjalan seperti biasa.


Malah Hajiji turut menganggap ia hanya tuduhan dan meminta pihak berkaitan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Setakat ini, empat ADUN telah didedahkan melalui video termasuk rakaman audio didakwa dikaitkan dengan skandal rasuah di Sabah.


Mereka ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang; ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Tanjung Keramat yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Comments


bottom of page