Dakwaan skandal rasuah: Masiung beri keterangan kepada SPRM
4 Disember 2024
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi bagi memberi keterangan susulan video tular mengaitkannya dengan skandal rasuah ADUN Sabah.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah dilihat tiba di pejabat SPRM Sabah pada jam 9 pagi tadi sebelum keluar pada jam 12.30 tengah hari.
“Kehadiran saya ke pejabat SPRM adalah sebagai komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pihak berwajib melakukan siasatan terperinci berhubung rakaman video itu.
“Pegawai SPRM mengambil masa dua jam 30 minit untuk merekodkan keterangan saya pagi ini dan saya berpuas hati dapat memberi kerjasama. Pegawai SPRM begitu profesional dan dedikaasi ketika melakukan siasatan,” katanya seperti dilaporkan Info X.
Masiung turut mengalu-alukan mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan video terbabit dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya.
Sementara itu, beliau mendakwa rakaman video berkenaan sudah disunting dan ditokok tambah terlebih dahulu sebelum disiarkan.
“Rakaman video itu jelas tidak menggambarkan cerita sebenar kerana ia disunting seolah-olah cerita itu berpihak kepada individu yang membuat rakaman tersebut.
“Saya bersedia dipanggil SPRM pada bila-bila masa tanpa memberi alasan sakit atau sibuk dengan komitmen tugas.
“Saya berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman tersebut untuk siasatan terperinci dan menyerahkan rakaman video sebenar perbualan berkenaan,” katanya.
Beliau percaya, wujud campur tangan politik parti pembangkang yang sengaja memerangkap wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komplot menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurut Masiung, beliau sudah menjangkakan pembangkang akan melakukan komplot kerana berasa tergugat dengan kecemerlangan kerajaan negeri diterajui Hajiji menerusi pembentangan Belanjawan Sabah 2025 sebanyak RM7.421 bilion yang tidak pernah dilakukan pembangkang ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Masiung juga meminta rakyat di kawasan Kuamut yang diwakilinya supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi.
תגובות