DAP kaji semula kedudukan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah susulan pendedahan video
11 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan mengambil tindakan yang selanjutnya, susulan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan di Sabah.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata CEC DAP membuat ketetapan itu dalam mesyuarat di Ibupejabat DAP, Kuala Lumpur, malam semalam, 10 Disember.
"Berikutan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan di Sabah, Pengerusi DAP Sabah telah memberikan penerangan secara terperinci berkenaan isu tersebut dalam mesyuarat dan CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru pihak SPRM menyiasat kes tersebut dengan tegas.
"CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan mengambil tindakan yang selanjutnya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan 15 individu, termasuk lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang pemberi maklumat berhubung video dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN di negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata sesi merakam percakapan semua individu berkenaan telah selesai pada Sabtu, 7 Disember lalu.
Kommentare