top of page
nabalunews

DAP sokong Ewon ketuai PH Sabah


1 Disember 2024


KOTA KINABALU: DAP Sabah menyifatkan pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai pengerusi baharu Pakatan Harapan (PH) Sabah mampu membawa gabungan itu ke tahap yang lebih baik.


Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata beliau yakin Ewon mampu membawa pembaharuan dan mengukuhkan lagi PH Sabah, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).


Jelasnya, beliau sendiri mempunyai sejarah bekerja bersama Ewon sejak kerajaan negeri yang lalu dan kini turut sama-sama menerajui kementerian berkaitan usahawan, masing-masing di peringkat negeri dan Persekutuan.


“Kita menyokong penuh beliau, dia seorang pemimpin yang baik dan saya ada sejarah lama bekerja bersama-sama beliau, sejak kerajaan lalu lagi dan sekarang kami sama-sama menerajui kementerian berkaitan usahawan, saya di negeri, manakala Ewon di Persekutuan.


“Ia satu perkembangan baik melihat pemimpin muda mengambil alih kepemimpinan agar lebih dinamik dan mampu memberi harapan yang segar kepada rakyat sekali gus menjadikan PH pilihan terbaik rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini, lapor Info X.


Phoong yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Sabah bersama Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu selepas menerima undian tertinggi menewaskan penyandang sebelum ini, Datuk Seri Christina Liew yang memegang jawatan berkenaan sejak 2017.


Sementara itu, Phoong berkata selain pemilihan pengerusi baharu PH Sabah sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PH Sabah, hari ini, mesyuarat itu turut menumpukan perbincangan mengenai persiapan menghadapi PRN-17.


Perbincangan di antara parti komponen PH Sabah itu, katanya berjalan dengan baik sebagai satu usaha untuk meningkatkan persiapan gabungan berkenaan menghadapi PRN-17.

Comments


bottom of page