Daradaat View Kg.Ratau lokasi menarik untuk penggemar memancing
25 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Seramai 40 peserta menjayakan Pertandingan Memancing yang julung kalinya dianjurkan Bombon Casting Pelian Daradaat View bagi mempromosi pusat pelancongan Kampung Ratau, di sini.
Pengerusi Penganjur Roger Mait berkata, pertandingan memancing CnR (pancing dan lepas) itu mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Kawasan ini amat sesuai untuk aktiviti memancing sebab itu kami menganjurkan pertandingan ini,” katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian UPKO Carlye Lajimin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan pertandingan itu.
Beliau turut mengulangi cadangannya agar pihak kepimpinan Kg.Ratau membuka satu lagi pusat pelancongan di kampung itu sebagai tambahan kepada pusat pelancongan sedia ada.
“Lebih banyak pusat pelancongan di Kadamaian khususnya Kampung Ratau, lagi baik kerana ia akan memberi banyak pilihan kepada para pengunjung seterusnya membantu menambah sumber pendapatan penduduk kampung,” katanya.
Carlye juga berharap agar penduduk kampung mewujudkan satu jawatankuasa pelancongan atau homestay.
Mantan Ketua Kg.Ratau Jole Lianu berkata, penganjuran pertandingan memancing satu usaha yang amat baik kerana ia bukan sahaja dapat mempromosikan produk eko pelancongan tetapi juga satu aktiviti yang baik untuk mengisi masa lapang.
“Saya berharap acara ini diteruskan dan dijadikan sebagai antara aktiviti menarik para pengunjung di sini,” katanya.
Commentaires