Dasar mesra pelabur tarik kehadiran ramai pelabur ke Sabah - Hajiji
29 Oktober 2024
TUARAN: Dasar mesra pelabur yang dilaksanakan oleh kerajaan Sabah telah menunjukkan hasil positif, dengan semakin ramai pelabur tempatan dan antarabangsa memilih untuk melabur dalam pelbagai sektor di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata
perkembangan memberangsangkan ini adalah bukti bahawa Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai kemajuan menerusi inisiatif strategik yang diperkenalkan di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.
Beliau menekankan bahawa langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Sabah.
“Misalnya, pada hari ini, kita dapat melihat syarikat dan restoran ternama McDonald's Malaysia sekali lagi berkunjung ke Sabah untuk perasmian restoran mereka yang terbaru dan juga mengumumkan perancangan perniagaan di negeri ini.
“Usaha ini bukan sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian restoran McDonald's Pandu-Lalu Tuaran Town di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Sabah menerima pelaburan bernilai RM11.34 bilion pada tahun lepas, sekali gus menjadikannya negeri ketujuh meraih pelaburan tertinggi di negara ini.
Di samping itu, pelbagai kemudahan dan insentif juga disediakan untuk pelabur, bagi memastikan proses pelaburan berjalan lancar dan memberikan hasil yang optimum kepada semua pihak yang terlibat serta menarik dan mengukuhkan kepercayaan pelabur sedia ada terhadap potensi ekonomi Sabah.
Hajiji berkata kerajaan Sabah turut mengalu-alukan usaha sama antara syarikat francais dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi meneroka potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri.
Pembukaan McDonald’s Pandu-Lalu Tuaran Town menjadikan jumlah restoran McDonald’s Malaysia yang beroperasi di Sabah sebanyak 22 dengan kira-kira 800 kakitangan setakat ini.
Ini seiring dengan komitmen syarikat itu untuk membuka 36 restoran di seluruh negeri.
Comments