Dasar Pandang Ke Timur KUSKOP Perkasa Fokus Tambahan di Sabah dan Sarawak – Ewon

9 Mac 2025
KOTA KINABALU: Dasar Pandang Ke Timur dalam perspektif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperkasa fokus tambahan dalam pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak, kata Menterinya, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian di seluruh negara, KUSKOP telah menggariskan keperluan untuk memberikan perhatian khusus kepada Malaysia Timur, khususnya dalam pembangunan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di bawah dasar berkenaan.
“Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP bagi usahawan PMKS di Sabah dan Sarawak ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus.

“Buat pertama kalinya, Kerajaan Sabah juga bersetuju memberikan biasiswa bagi pelajar dari Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian dan Agensi di Hotel Raia, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Seri Khairul Dzaimee Daud, timbalan-timbalan ketua setiausaha, pengerusi-pengerusi lembaga pengarah, ketua-ketua agensi, setiausaha-setiausaha bahagian serta warga kerja KUSKOP dan agensi di bawahnya.
Ewon berkata, selain itu, bagi meningkatkan capaian maklumat dan perkhidmatan kepada usahawan, agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti INSKEN, Pernas, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, dan SKM telah memperluaskan cawangan mereka di Sabah.
“Ini termasuk cadangan pembukaan Hab PMKS di Sabah oleh SME Corp. Usaha ini bertujuan memastikan ekosistem keusahawanan di negeri ini lebih progresif, inklusif, dan mampan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa KUSKOP akan terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan dan koperasi menerusi Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, berdasarkan semangat “KUSKOP is a team that always makes it happen” dan pendekatan “Common Sense Leadership” dalam memberi perkhidmatan yang berpaksikan prinsip “to facilitate, not frustrate”.
“KUSKOP melalui 10 agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi bagi membantu memecut momentum kejayaan yang berterusan untuk melonjakkan prestasi usahawan dan koperasi. Ini berdasarkan semangat “Team KUSKOP is a team that always make it happen”
“KUSKOP melalui agensi-agensinya seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta kepada 53,395 usahawan dan koperasi, di negeri ini, sepanjang tahun lalu.

“Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah pada tahun 2024 yang memberi manfaat kepada seramai 1,585 usahawan,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP juga telah memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Katanya, bagi tujuan itu, usaha telah digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini KUSKOP akan terus komited dalam memperkasakan keusahawanan, khususnya di Sabah, bagi memastikan usahawan PMKS dan koperasi tempatan terus berkembang maju.
“Kami beriltizam melaksanakan program yang lebih berkesan, berpaksikan tanggungjawab dan dedikasi tinggi dalam memacu pertumbuhan sektor keusahawanan.
“Kami di KUSKOP akan terus bergerak sebagai satu pasukan dengan mantra “We will make it happen!” dan akan memastikan setiap inisiatif yang dirancang dilaksanakan dengan penuh komitmen.
“Pendekatan kami tidak hanya tertumpu pada pematuhan peraturan dan prosedur, tetapi lebih daripada itu, kami mengutamakan prinsip "we must facilitate, not frustrate". Iaitu mengimbangi keperluan perundangan dengan kebijaksanaan serta mempermudahkan urusan para usahawan,” katanya.
Comments