DBKK giat banteras penjaja tanpa lesen di Aeropod

18 Mac 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penjajaan tanpa lesen menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan tepi jalan Aeropod, Tanjung Aru, baru-baru ini.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam Sabtu lalu disertai 15 anggota DBKK, terdiri daripada empat anggota Bahagian Lesen Penjaja, Jabatan Pelesenan dan 11 anggota dari Jabatan Penguatkuasaan.
“Hasil pemeriksaan, lapan penjaja tanpa lesen dikenal pasti sedang menjalankan aktiviti di kawasan tersebut, yang merupakan tempat larangan menjaja.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua mereka gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah,” menurut kenyataan DBKK.
Susulan itu, DBKK bertindak menyita peralatan penjaja dan memberikan amaran keras kepada mereka agar tidak lagi menjalankan aktiviti di lokasi berkenaan.
“Ketegasan DBKK dalam membanteras penjaja haram ini adalah komitmen untuk menjaga kepentingan awam, memastikan aspek keselamatan terjamin, kebersihan dipantau, dan kesihatan orang ramai lebih terjaga,” jelas kenyataan itu lagi.
Operasi ini dikendalikan oleh Jabatan Pelesenan DBKK dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan DBKK.
ความคิดเห็น