DBKK lancar kempen kesihatan, tingkat kesedaran penyakit berjangkit bawaan burung
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

29 April 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran awam mengenai kesihatan dan kawalan penyakit berjangkit menerusi Majlis Pelancaran Kempen Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera di Lintasan Deasoka pada Sabtu lalu.
Kempen yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2025 peringkat Bandaraya Kota Kinabalu, dan akan berlangsung selama dua bulan sehingga 25 Jun depan.
Objektif kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan semasa, menyebarkan maklumat kesihatan berhubung penyakit berjangkit bawaan burung serta melaksanakan tindakan pencegahan penyakit dan kawalan populasi burung.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBKK, Lifred Wong, yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam teks ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Mayor berkata, kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mewujudkan sebuah bandar raya yang sihat, mesra pelancong dan mampan.
Tambah beliau, kempen ini akan memberi tumpuan kepada pengurusan burung yang mampan. Dengan perancangan yang bijak, kemajuan dalam pembangunan bandar dapat dicapai tanpa menjejaskan keseimbangan alam semula jadi.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah perasmian papan tanda larangan memberi makanan kepada burung merpati, diikuti aktiviti pencucian lantai di sekitar Lintasan Deasoka serta sesi ‘walkabout’ kempen kesedaran bersama pengusaha premis di sekitar Jalan Pantai dan Jalan Gaya.
Kempen ini turut mendapat sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Lembaga Pelancongan Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu, Dewan Perniagaan Muslim Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah serta pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.
Turut hadir memberi sokongan ialah Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Noraziah Bakri; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon yang juga pengerusi penganjur kempen; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan) DBKK, Victor Gerard Kuasi; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Abd. Lajid Abu Hassan; serta Penolong Pengarah Kanan Wilayah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Senthilvel K.S.S Nathan.
Comments