top of page

DBKK lancar libat urus, pastikan kelancaran pelaksanaan SPSS

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

15 April 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini mengadakan sesi libat urus bersama komuniti tempatan mengenai pelaksanaan Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) bagi kawasan Jalan Padang dan Lorong Dewan yang dijadualkan bermula 1 Mei depan.


Sesi yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK Robert Lipon ini turut menyaksikan sesi pembentangan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK Leong Tze Fui,


"Sesi ini telah memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti cabaran semasa serta membincangkan impak pelaksanaan SPSS terhadap persekitaran dan komuniti setempat," kata DBKK dalam satu kenyataan,


Sebanyak 200 notis jemputan telah diedarkan kepada penduduk dan pengusaha premis terlibat sebagai sebahagian usaha memastikan pendekatan yang lebih inklusif, efisien dan berkesan dalam pelaksanaan SPSS fasa keempat ini.


Tiga lokasi utama dikenal pasti sebagai tapak pelupusan SPSS, iaitu di hadapan King Park Hotel, Padang Merdeka (Jalan Padang), dan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu (Lorong Dewan), dengan dua sesi pelupusan setiap hari.


Pelaksanaan penuh SPSS dijangka dilaksanakan di seluruh pusat bandar Kota Kinabalu menjelang tahun 2028, sebagai usaha mencapai pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik, lestari dan bertanggungjawab.


Penduduk dan pengusaha premis turut diingatkan untuk mematuhi jadual pelupusan SPSS serta tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelak dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-undang Kecil Anti Litter 1984 (Pindaan 2005).


Pendekatan ini mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara lebih inklusif, efisien dan berkesan.


SPSS sebelum ini telah berjaya dilaksanakan di Kampung Air, Medan Selera Anjung Senja, dan Bandaran Berjaya yang menyaksikan kesan positif, antaranya pengurangan sampah melimpah, penghapusan bau busuk, serta pengurangan aktiviti vandalisme dan pembiakan tikus.


DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam sesi ini dan berharap sokongan serta kerjasama berterusan daripada komuniti sepanjang pelaksanaan SPSS kelak.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page