DBKK meterai MoU perkukuh pengurusan alam sekitar
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

12 April 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan enititi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar secara strategik.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, MoU berkenaan dimeterai bersama Marine Research Foundation (MRF), Legenda Bumimas Sdn Bhd (LBSB) serta My Protech Sdn Bhd (Arus Oil) pada 9 April lalu.
Katanya, jalinan kerjasama itu merupakan simbolik terhadap usaha DBKK dalam menangani cabaran semasa secara strategik dan berimpak tinggi, khususnya isu yang memberi kesan kepada alam sekitar, sektor pelancongan, perikanan serta imej bandar raya.
“Kerjasama dengan Marine Research Foundation akan memfokuskan usaha pengurusan sisa marin, pelaksanaan operasi pembersihan laut serta mempromosikan kitar semula dan 'upcycling' secara bertanggungjawab terhadap sisa yang dikumpulkan.
“Sementara itu, jalinan kerjasama bersama Legenda Bumimas Sdn Bhd akan tertumpu terhadap usaha memastikan pengurusan sisa elektrik dan lektronik (e-waste) yang sistematik demi masa depan yang lestari.
“Manakala, kerjasama DBKK bersama My Protech Sdn Bhd (Arus Oil) akan tertumpu terhadap usaha menggalakkan penglibatan komuniti dan pengguna dalam mengitar semula minyak masak terpakai berasaskan kepada prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dilaporkan berkata, kerjasama berkenaan bakal memberi impak positif bukan sahaja dalam pengurusan alam sekitar, tetapi juga membuka peluang pekerjaan, meningkatan kesedaran masyarakat serta sokongan terhadap pembangunan ekonomi hijau yang berterusan.
Abidin yang juga Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK berkata, MoU yang dimeterai merupakan sebahagian daripada transformasi yang lebih menyeluruh dalam mencapai kemajuan yang berdaya tahan.
Katanya, ia juga seimbang antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.
תגובות