DBKK, PDRM perkukuh kerjasama demi keselamatan bandaraya
12 Januari 2025
KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Sabin Samitah, mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.
Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan bandaraya.
Menurut kenyataan DBKK, kerjasama ini akan memfokuskan isu kritikal seperti kecurian kabel yang mengakibatkan kerugian besar kepada pihak berkuasa tempatan dalam usaha membaik pulih kawasan terjejas.
“Isu palauh, khususnya berkaitan peminta sedekah dan jenayah kecil yang kerap berlaku di bandaraya, turut menjadi perhatian utama dalam perbincangan ini,” ujar kenyataan itu.
Delegasi DBKK yang turut hadir dalam kunjungan ini ialah Tuan Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan, Tuan Mohd. Haniff Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, serta beberapa pegawai kanan DBKK.
Manakala, pihak IPK Sabah diwakili oleh YDH CP Datuk Jauteh bin Dikun, YDH DCP Datuk Shahurinain bin Jais, YDH SAC Datuk Azmi bin Abdul Rahim, YDH SAC Nik Md Zain bin Nik Omar, YDH ACP Kasim bin Muda, dan YDH Supt. Rosdi bin Mat Jusoh.
DBKK juga menyatakan hasrat untuk meningkatkan proaktiviti Jabatan Penguatkuasaan dalam memastikan bandaraya selamat, teratur, dan selesa.
“Melalui usaha bersama, segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan penduduk setempat serta meningkatkan imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan pelancong,” tambah kenyataan tersebut.
Comments