DBKK Perketat Pemantauan Populasi Buaya
nabalunews

18 Mac 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat pemantauan terhadap populasi buaya di sungai berhampiran Bengkel Depoh DBKK, Sungai Darau, serta kawasan lain sekitar bandaraya menerusi peningkatan operasi berkala.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam menegaskan, pemantauan suku tahunan ini adalah kesinambungan daripada Operasi Pemantauan Buaya tahun lalu.
Katanya, ia dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK.
“Jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, telah melaksanakan beberapa siri pemantauan sejak 30 Januari tahun lalu.
“Operasi pertama dijalankan pada 29 Februari hingga 1 Mac tahun lalu dan ia tertumpu di Sungai Darau, Sungai Kalansanan, serta beberapa hotspot lain yang dikenal pasti.
“Seterusnya, operasi kedua pula dijalankan pada 19 hingga 20 Ogos tahun lepas susulan laporan kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat,” katanya.
Menurutnya, pemantauan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Hidupan Liar (JHL).
Selain itu, katanya, DBKK turut mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kajian anggaran populasi buaya di kawasan seliaannya, memasang tanda amaran di lokasi berisiko tinggi, serta menempatkan CCTV di kawasan hotspot yang dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan agar segera melaporkannya kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.
Talian Kecemasan Kebangsaan: 999
Polis Diraja Malaysia (PDRM): 088-529222
Balai Bomba Kota Kinabalu: 088-210214/019-2445687
Jabatan Hidupan Liar (JHL): 088-213502
Angkatan Pertahanan Awam Sabah: 088-232440
Angkatan Pertahanan Awam Kota Kinabalu: 088-232453
Commentaires