top of page

DBKK pupuk budaya "Upcycle", pacu kelestarian alam sekitar

  • nabalunews
  • 3 minutes ago
  • 2 min read


15 April 2025


KOTA KINABALU: Lebih 360 warga bandar raya menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena Program Upcycle@Recology anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berlangsung di pekarangan Bangunan DBKK pada Ahad lalu, sebagai inisiatif memupuk kesedaran tentang pentingnya amalan kitar semula bagi kelestarian alam sekitar.


Program tersebut dianjurkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula dalam menjaga keseimbangan ekologi.


Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBKK Lifred Wong, yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.


Dalam ucapan teks Mayor yang disampaikan Lifred, beliau menegaskan bahawa program ini merupakan manifestasi jelas terhadap komitmen DBKK dalam mendidik masyarakat agar melihat sisa buangan bukan sebagai beban, tetapi sebagai peluang untuk dicipta dan diguna semula serta dijadikan produk bernilai.


Tambah beliau melalui pendekatan pendidikan kreatif, program ini turut menggalakkan warga bandar raya untuk memahami peranan penting mereka dalam penjagaan alam sekitar sekali gus menghayati prinsip 'reduce, reuse and recycle'."


Dalam acara sama, Lifred turut meluangkan masa melawat tapak acara bagi melihat aktiviti seperti Upcycle Market, Workshop "Plastik Ke Tekstil", dan Workshop Upcycle yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan umur.


Turut hadir memberi sokongan ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK yang juga Pengerusi Pelaksana Program Upcycle@Recology; Pengarah JPSP DBKK, Encik Leong Tze Fui, serta Ketua-ketua Jabatan DBKK.


Antara aktiviti menarik ialah KK City Cleanup yang melibatkan peserta dari pelbagai kolej, universiti, dan jabatan DBKK yang bukan sahaja melaksanakan kerja-kerja pembersihan tetapi juga mempraktikkan pengasingan sampah secara langsung di sekitar Bangunan DBKK hingga ke Kampung Air dan Segama.


Kemuncak program ialah pelancaran Model 3D Pusat Lestari Kota Kinabalu (PLKK), simbol komitmen DBKK dalam memperkukuhkan infrastruktur pengurusan sisa dan barangan terpakai. Projek ini bakal menyediakan bangunan khusus untuk tujuan pengumpulan, pembaikan dan jualan semula bahan kitar semula, sekali gus mengukuhkan ekonomi hijau bandar raya.


Acara turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah pertandingan seperti Cabaran ‘Kampungku Bersih’, Pertandingan Fotografi, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, dan Upcycle Hunt.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page