top of page
nabalunews

DBP mohon negeri Sabah diiktiraf sebagai Kota Sastera UNESCO

29 Disember 2024


KOTA KINABALU: Sabah dijangka melakar sejarah sebagai Kota Sastera UNESCO yang ke-60 di dunia, hasil usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah yang sedang memohon pengiktirafan tersebut.


Exco Agama dan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata negeri itu telah memenuhi prasyarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), termasuk pembangunan ekonomi, sosial dan kebudayaan melalui aktiviti kesusasteraan.


“Antaranya kita sudah ada perpustakaan, universiti, serta pelbagai kegiatan sastera. Kini kita hanya perlu menyelaraskan usaha-usaha ini.


“Mudah-mudahan, permohonan ini mendapat kelulusan dan akan menyumbang kepada pelancongan sastera, ilmu, serta budaya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Persatuan Karyawan Sastera Utara di sini baru-baru ini, lapor Berita RTM.


Dalam majlis tersebut, Dr Mohd Arifin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada setiap persatuan penulis yang aktif dan berdaftar di Sabah bermula tahun hadapan.


“Peruntukan ini bertujuan membolehkan persatuan melaksanakan aktiviti kesusasteraan dan menerbitkan karya seperti puisi, antologi cerpen, dan lain-lain yang berunsur sastera,” jelasnya.


Majlis makan malam itu turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah, termasuk Anugerah Tokoh Sastera Utara Sabah, Tokoh Karyawan Sastera Utara (KSU), Tokoh Penyair Islam Utara Sabah, dan Tokoh Pelopor Karyawan Sastera Utara Sabah.

留言


bottom of page