top of page
nabalunews

Dewan terbuka gereja SIB Bukit Bendera, Taginambur dijangka siap awal November



25 Oktober 2024


KOTA BELUD: Dewan terbuka gereja SIB Bukit Bendera, Taginambur di sini, dijangka siap sepenuhnya pada awal November ini.


Dewan berkeluasan 2,400 kaki persegi ini mula dibina pada September lalu.


Kelulusan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi pembinaan dewan terbuka ini diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semasa sambutan Pesta Kaamatan pada Jun 2023.


Bagi melihat sendiri tahap kemajuan pembinaan dewan terbuka gereja SIB Bukit Bendera ini, Caryle Lajimin, Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian yang mewakili Ewon, telah melawat tapak pembinaan kemudahan ini.


Sebelum ini, permohonan tersebut telah lama dikemukakan oleh penduduk dan pihak gereja kepada pemimpin-pemimpin terdahulu namun tidak pernah ditunaikan ataupun diluluskan kata wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taginambur Jaya, Matiah Mudin.


Matiah merakamkan penghargaan atas keprihatinan Ewon yang telah memenuhi keperluan komuniti setempat yang selama ini amat dinanti-nantikan.


Matiah berkata dengan siapnya dewan terbuka ini, ia akan memberikan kemudahan tambahan untuk pelbagai aktiviti komuniti dan acara gereja di kawasan tersebut.

Comments


bottom of page